Sambutan Maulidur Rasul 2019

14 NOVEMBER 2019, Dewan Konvensyen E-Learning –  Pusat Islam UPSI telah menganjurkan ceramah bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1441H peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).Program ini telah diadakan di Dewan Konvokesyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI pada 14 November yang lalu.Ceramah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Elyas Ismail yang merupakan pengarah dan jurulatih utama di syarikat beliau iaitu High Step Consultant. Selain itu, beliau juga telah banyak menyalurkan khidmat dalam program-program dakwah di stesen televisyen mahupun radio kini.

 

Antara bingkisan ilmu yang dikongsikan oleh Ustaz Elyas Ismail dalam ceramah Sambutan Maulidur Rasul 1441H peringkat UPSI:

 

4 tanda Nabi Akhir Zaman, antaranya, yang pertama dilahirkan di Tihamah, kawasan yang subur dengan kurma iaitu di Makkah al-Mukarramah. Tanda yang kedua, diutuskan hampir dekatnya kiamat, ibarat jarak antara hujung jari tengah dan hujung jari telunjuk. Tanda yang ketiga pula adalah mempunyai tanda lahir pada belakang badan Baginda SAW sebesar telur. Tanda yang keempat adalah setiap langkah Baginda SAW di bumi, dipayungi oleh awan

 

Bagaimana untuk menjadikan Rasullulah SAW sebagai ikutan agung? Terdapat beberapa sifat pada Rasulullah SAW yang boleh dijadikan ikutan sepanjang hayat, yang pertama, Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang sangat baik dengan semua makhluk termasuk haiwan, tumbuhan malah jin. Sifat kedua Rasulullah SAW yang boleh diikuti adalah jujur lagi amanah. Sifat ketiga Rasulullah SAW yang boleh dijadikan ikutan kita bersama adalah pendidik yang sabar, dalam mendidik umat. Sifat keempat ialah, Rasullulah SAW sangat penyayang dan mesra terhadap isteri dan keluarga

 

Selesai sesi ceramah, majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian cenderamata yang disampaikan oleh Dr. Mohd Abdul Nasir bin Abd Latif, selaku Pengarah Pusat Islam UPSI diiringi Dr. Ahmad Zulfikar Shah bin Abdul Hadi, selaku Timbalan Pengarah Pusat Islam UPSI.