SELAMAT DATANG

KE LAMAN SESAWANG PUSAT ISLAM UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Segala puji bagi Allah Azzawajalla, Pencipta dan Penguasa seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya, para sahabat serta para tabi’in dan seluruh umat Islam yang mengikut sunnahnya sehingga akhir zaman.

Terlebih dahulu saya mengucapkan “ahlan wa sahlan”, selamat datang kepada semua pengunjung ke laman sesawang Pusat Islam UPSI, semoga ianya bermanfaat dan dapat memberikan input yang jelas serta komprehensif mengenai fungsi dan peranan Pusat ini.

Pusat Islam UPSI secara rasminya telah ditubuhkan pada bulan November 2001 yang berperanan sebagai pusat kecemerlangan Islam ke arah melahirkan warga kampus yang bitara dan memiliki sahsiah serta jati diri yang unggul. Dalam merealisasikan visi dan misi ini, Pusat Islam telah tampil merencana dan melaksanakan pelbagai program penghayatan islam yang melibatkan mahasiswa, kakitangan dan juga masyarakat setempat.

Pusat Islam sentiasa dinamik dan memandang positif kehadapan dengan menjadikannya sebagai sebuah entiti Islam yang sentiasa relevan, dirujuk dan dihormati (Relevant, Referred, Respected) selari dengan halatuju Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai universiti no.1 Pendidikan. Justeru itu, setiap program yang dirancang dan dilaksanakan akan disesuaikan dengan senario (waqi’) dan keperluan semasa supaya dapat memberikan kesan dan manfaat yang terbaik kepada warganya.

Dalam menambah baik peranan dan fungsinya, Pusat Islam juga sentiasa mengalukan-alukan sebarang bentuk kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan sama ada dari dalam mahupun luar UPSI. Semoga syiar agama Islam ini akan dapat dikembangkan dan disebarkan luas lagi kepada masyarakat awam seluruhnya.

 Akhirul kalam, semoga dengan pengwujudan laman sesawang Pusat Islam ini, akan menjadi asbab kepada keunggulan dan kecemerlangan Islam, khususnya dalam mendepani cabaran masa hadapan.

 

Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD TARMIZI BIN ABDUL RAHMAN
PENGARAH PUSAT ISLAM UPSI