Khutbah yang sedap di dengar dan disampaikan oleh khatib yang berkemahiran dengan isi kandungannya yang segar akan memberi kefahaman yang mendalam kepada pendengar.
Justeru, aspek penulisan khutbah dan gaya penyampaian khatib turut menjadi penyumbang penting dalam memastikan khutbah yang disampaikan memberi kesan kepada pendengar.
Menurut Encik Muhammad Tarmizi bin Abdul Rahma, Pengarah Pusat Islam berkata bagi memberikan pendedahan kepada semua khatib dan imam yang bertugas sebagai pengkhutbah adalah disarankan supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu penyampaian khutbah untuk memastikan khutbah yang disampaikan menarik minat pendengar untuk tekun menghayati bait-bait khutbah yang diberikan.
Sehubungan itu, baru-baru ini Unit Latihan, Bahagian Sumber Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Islam mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Pemantapan Khatib dan Khutbah Efektif yang disertai para imam dan khatib dari seluruh Malaysia.
Encik Abdul Hadi bin Ahmad selaku Penolong Pendaftar Kanan, Unit Latihan turut berkata kursus yang diadakan ini bertujuan memantapkan lagi imam dan khatib dari aspek fiqh, gaya dan teknik penyampaian khutbah yang berkesan.
Antara penceramah yang turut memberi sumbangan ilmu dan kepakaran dalam menjayakan kursus ini adalah Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir, Mufti Negeri Selangor; Dr. Mohd Faizal Bin Abdul Khir, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, USAS; Ustaz Syed Muzaffar Bin Syed Azlan Imam Masjid Negeri Perak; Prof. Madya. Dr. Mohamad Marzuqi Bin Abdul Rahim, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI; Ustaz Mohd Arif bin Hj Hasan Imam Masjid Daerah Mualim dan En. Muhammad Tarmizi bin Abdul Rahman Pengarah Pusat Islam, UPSI.
Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Bin Haji Opir, Mufti Negeri Selangor turut telah menekan berkaitan fiqh dan rukun khutbah yang wajib diketahui oleh semua peserta.
“Khutbah-khutbah yang disyariatkan ada sepuluh, khutbah Jumaat, khutbah dua hari raya, khutbah dua gerhana, khutbah minta hujan dan empat khutbah dalam (musim) haji seperti yang dinyatakan dalam Hawashi al-Sharwani’, katanya.
Sementara itu, Dr. Mohd Faizal bin Abdul Khir selaku penceramah Slot 3 menyatakan gaya dan penyampaian khatib dalam menyampaikan khutbah akan mempengaruhi akal audience melalui gaya dan hujah yang disampaikan. Malah khutbah dalam membangkitkan minat dan perasaan audience melalui kesungguhan, seni bercakap, akhlak, rohani dan juga sedikit jenaka yang disampaikan.
Salah seorang penceramah kursus ini, Tuan Syed Muzaffar bin Syed Azlan, Imam Masjid Negeri Perak turut menambah “Intonasi suara dan gaya penampilan seperti pakaian khas untuk khatib juga memainkan peranan dalam penyampaian khutbah yang berkesan.
Kursus yang dijalankan selama dua (2) hari bermula 7 Ogos 2023 hingga 8 Ogos 2023 yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan e-Learning ini telah melibatkan seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada 41 orang peserta dari kalangan Imam dan Khatib Masjid/Surau seluruh Malaysia dan 7 orang peserta UPSI sendiri.
Antara pengisian kursus ini adalah Fiqh dan Rukun Khutbah (Do and Don’t), Gaya dan Penyampaian Khutbah, Teknik Khutbah Berkesan, Praktikal Khutbah Efektif, Sesi Perkongsian bersama Ikon Khatib dan juga Penutup dan penyampaian sijil kepada semua peserta.
Para peserta telah meluahkan rasa keterujaan dan memberikan maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran yang dilaksanakan. Semoga output dari pelaksanaan kursus ini, para peserta dapat mempraktikkan dan menggunakan ilmu yang disampaikan sebaiknya.
Di akhir kursus, para peserta diberikan sijil penyertaan pada penghujung kursus yang akan diadakan pada hari terakhir kursus sebagai tanda penghargaan di atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang mengikuti kursus.