60 PESERTA GEN-Q MANFAAT CUTI SEKOLAH

12-16 Disember 2022 : 60 anak kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris

mendapat manfaat dalam Program Pembentukan Generasi Al-Quran (GEN-Q) sempena cuti sekolah. Program ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan Pusat Islam UPSI sebagai perkhidmatan dalam pembentukan sahsiah bagi anak-anak kakitangan UPSI yang berumur 7 hingga 12 tahun.

Rutin harian semua peserta GEN-Q seawal jam 8.30 Pagi bermula dengan hafazan Al-Quran yang diadakan di Masjid Al-Mursyidin. Sepanjang 5 hari program berlangsung pelbagai pengisian menarik antaranya Indahnya Bahasa Arab- Cintai Bahasa Al-Quran, Slot Ustaz Kartun dan Robojim, Slot ‘Learn to Speak English’, Slot Bahasa Mandarin, Slot Mudahnya belajar jawi dan kemuncak bagi Program ini adalah Lawatan ke Muzium Kesenian Islam Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur.

Program GEN-Q ini juga turut melibatkan mahasiswa dan mahasiswi UPSI yang terdiri daripada pelbagai fakulti khususnya Pelajar kos tahfiz, Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan Pendidikan Khas serta wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar menjadi fasilitator untuk membantu Pusat Islam bagi memastikan setiap peserta mendapat sepenuhnya manfaat dan dikawal selia sepanjang masa samada dari sudut pengisian mahupun keselamatan.

Penerapan konsep teori dan praktikal dalam Program GEN-Q serta berkonsep santai menjadikan ianya mudah diadaptasi oleh para peserta kerana ianya sangat berbeza daripada apa yang mereka lalui sepanjang berada dalam bilik darjah sepanjang tempoh persekolahan. Program GEN-Q ini telah melabuhkan tirainya pada 16 Disember 2022, Jumaat dengan sesi penyampaian sijil kepada semua para peserta.

Semoga Program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan aktiviti yang lebih menarik dalam memastikan bakal pemimpin akan datang dapat didikan yang sempurna serta mampu memanfaatkan cuti persekolahan dengan aktiviti yang berfaedah serta bersedia dengan alam remaja yang lebih mencabar.