25 September 2020, Jumaat : Kelas Tahsin Qiraatul Quran Muslimat telah dianjurkan oleh Pusat Islam UPSI yang bertempat di Bilik Seminar Pusat Islam UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Kehadiran peserta bagi Kelas ini melibatkan seramai 30 Kakitangan Wanita UPSI dari pelbagai Jabatan dan fakulti.
Kelas ini dibimbing secara langsung oleh Ustazah Junaidah binti Juni yang merupakan Guru Tauliah serta Guru Agama Dakwah, Jabatan Agama Islam Negeri Perak Daerah Slim. Kelas ini diadakan secara berkala iaitu pada setiap hari jumaat dua kali sebulan bermula pada jam 2.30 hingga 3.30 petang.
Tujuan kelas ini diadakan bagi membantu kakitangan wanita dan juga mahasiswi yang belum mahir membaca al-quran dengan baik dan sempurna. Selain itu, terdapat peserta yang mempunyai asas bacaan yang baik namun masih memerlukan pengukuhan dan pemantapan bacaan secara musyafahah berdasarkan kepada panduan yang diperincikan oleh Ustazah Junaidah binti Juni berdasarkan modul yang disediakan.
Walaupun kelas ini mempunyai kekangan masa dan juga cabaran untuk menghadirinya namun setiap peserta mengambil inisiatif yang baik dengan memanfaatkan masa sejam yang ada untuk mempelajari ilmu Al-Quran berdasarkan kepada minat yang mendalam terhadap mukjizat yang ditinggalkan oleh Junjungan besar Nabi Muhammad S.a.w. Semoga semua peserta sentiasa istiqamah dalam mengikuti kelas ini sehingga ke penghujungnya dan mampu mengajarkan Al-Quran kepada orang lain.