Published: Tuesday, 22 August 2017

 

12 Rabiulawal telah mencatatkan sejarah dunia sebagai tarikh kelahiran seorang manusia agung, Rasul junjungan Muhammad SAW.

Kisah baginda diceritakan, dibukukan, didendangkan melalui alunan nasyid, dan dipertontonkan sebagai sebuah filem untuk dijadikan kisah pengajaran dan tauladan buat umat seluruhnya.

Bukan sekadar itu, malah ia dijadikan bahan pengajaran penting untuk diwariskan dari generasi ke generasi dan diabadikan dalam pemikiran dan tingkah laku oleh jiwa-jiwa yang berjuang untuk menggapai redha Ilahi.

Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mencintai Allah maka ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”(Surah Ali Imran: Ayat 31)

Mereka yang benar-benar ingin mendapat redha Allah tidak akan berpeluk tubuh. Hanya mereka yang benar-benar ingin mendapat redha Allah akan berusaha keras menghidupkan sunnah perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Menulusuri sirah nabawiyah, Nabi Muhammad SAW mengajar kita bahawa kehidupan ini bukanlah sekadar melaksanakan ibadah rutin, pergi dan balik dari tempat kerja untuk mencari nafkah buat keluarga, solat lima waktu, menunaikan haji, berpuasa dan apabila pencen menanti saat ke alam seterusnya. Bukan juga dikatakan sunnah itu dengan hanya mengamalkan amalan tertentu seperti berjubah, berserban atau menyimpan janggut semata-mata. Namun sunnah itu kehidupan perjuangan dan kehidupan beragenda untuk menegakkan syariat Allah di muka bumi.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”.” (Surah  Al Baqarah: Ayat 30)

Katakanlah, “Inilah jalanku… aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik…” (Surah Yusuf: Ayat 108)

Islam tidak tertegak hanya kerana ia agama dari langit apatah lagi hanya semata-mata ia agama yang haq. Namun ia tertegak setelah adanya dokongan kuat dari sekumpulan manusia yang berpegang teguh pada sebuah ideologi yang bernama Islam. Dari sebuah idea, ia mencorakkan kehidupan seseorang, memberinya matlamat hidup, membentuk peribadi dan akhlaq. Dari pegagangan seorang individu maka seterusnya membentuk masyarakat dan negara.

Sirah Nabi Muhammad SAW berserta para Sahabat adalah kehidupan perjuangan. Kehidupan yang dipenuhi susah payah, dihiasi seksaan dan cacian, diwarnai peluh dan darah. Penuh tentangan. Penuh cubaan. Hanya untuk memenangkan sebuah nilai yang dikatakan akidah tauhid. Atas usaha dan penat lelah tersebut, Allah memenangkan Islam pada ketika itu. Dan atas usaha para sahabat menjiwai sirah ini, Islam terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Lebih 14 kurun telah berlalunya sejarah mengenai kisah kebangkitan Islam. Namun ia tidak bertahan lama setelah jatuhnya pemerintahan khalifah Islam pada tahun 1924 Masihi. Jahiliyah yang diruntuhkan kini bertapak kembali.

Saban hari, kita melihat umat Islam semakin parah, lemah iman dan runtuh nilai kehidupan Islam mereka. Masyarakat Islam diporak perandakan. Jauh di sana, umat Syria dibantai, Palestin dibom, dan Rohingya dipijak-pijak. Di halaman sendiri, kita diasak dengan tuntutan hak asasi manusia yang melanggari syariat. Wujudnya pelampau Kristian yang ketagihan untuk memurtadkan anak-anak Muslim. Golongan Syiah semakin lantang bersuara. Dan lebih malang lagi, muncul pula segolongan boneka ‘Muslim Moderat’ yang mempertahankan semua kebathilan tersebut.

Di sisi yang lain,  pemimpin-pemimpin Islam kelihatan lemah dan dayus serta lebih selesa memilih jalan untuk terus bergelumang dengan korupsi. Anak-anak muda dijinakkan dengan kehidupan berorientasikan hedonisme. Harimau Malaya hanyalah gelaran di padang bola. Hakikatnya sifat kebanyakan anak-anak muda mirip burung kakak tua, apa yang disuapkan itu yang dimuntahkan kembali. Tiada agenda hidup yang jelas.

Melihatkan keadaan sebegini, dada menjadi sesak. Dimanakah solusi? Pelbagai pelan dibentangkan dari pelbagai ideologi, namun semuanya satu per satu menunggu giliran untuk ke ‘liang lahad’. Model yang dibentangkan oleh Nabi Muhammad SAW  itulah yang terbaik, kesejahteraan dunia dan juga akhirat. Sirah itu bukan sekadar bahan bacaan, namun ilmu daripada sirah itulah yang sepatutnya mencetuskan api perjuangan; perjuangan mengembalikan syariat Allah pada kedudukan yang tertinggi dan perjuangan menyusun langkah dan anasir-anasir soleh sebagai jentera Islam. Tiada kompromi dengan kaafiriin dan musyrikiin. Keselesaan dunia bukanlah pilihan tetapi kemuliaan akhirat itu yang didamba.

Setiap kali menjelang Maulidur Rasul kita melihat di sana sini masing-masing sibuk dengan sambutan samada melalui ceramahnya, majlis sambutan besar-besaran mahupun perarakan ke sana ke mari.  Semua itu antara aktiviti sebahagian masyarakat yang dijalankan untuk menghayati kisah kehidupan Nabi kita.

Namun begitu penghayatan Maulidur Rasul bukan sepatutnya sekadar itu. Dan bukan juga hanya pada tarikh itu sahaja untuk mengingati sirah hebat Nabi SAW.  Walaubagaimanapun, kita seharusnya mengambil kesempatan ini untuk membuka semula lembaran kisah agung ini. Menghayati, menjiwai dan menghidupkan semula kisah Rasul dan para Sahabat, mempraktikkan kisah perjuangan ini sebagai landasan kehidupan seharian kita, serta mentarbiyah diri dan berdakwah kepada masyarakat.

Selawat dan salam sekali lagi atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga dengan keberkatan perjuangan ini, kita akan bertemu mereka di syurga kelak.

“Sesungguhnya telah ada dalam diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al-Ahzab: Ayat 21)

Hits: 521